Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT/Salam Sejahtera.
Dengan penuh rasa syukur, saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga alumni Universiti Malaya (UM) yang terus menjadi pemangkin kecemerlangan universiti ini. UM bukan sekadar institusi pengajian tinggi, malah ianya sebuah lambang keunggulan intelektual dan pusat kecemerlangan ilmu yang telah melahirkan para pemimpin dan cendekiawan yang memberi impak besar dalam pelbagai sektor di peringkat nasional mahupun peringkat global.
Pusat Hubungan Alumni berperanan sebagai jambatan penghubung antara universiti dan para alumni, memperkukuh sinergi yang memungkinkan kolaborasi strategik dan pemerkasaan komuniti alumni yang lebih dinamik. Kami senantiasa komited dalam mewujudkan rangkaian yang berdaya saing, di mana alumni bukan sahaja terus berhubung dengan alma mater, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepakaran, pengalaman dan sumber ke arah kemajuan universiti serta pembangunan negara.
Sejajar dengan visi Universiti Malaya untuk kekal sebagai institusi bertaraf dunia, kami percaya bahawa keterlibatan alumni dalam ekosistem akademik, penyelidikan, keusahawanan dan kebajikan sosial mampu menjadi pemacu kepada transformasi yang lebih bermakna. Justeru, kami mengalu-alukan penglibatan aktif para alumni dalam pelbagai inisiatif strategik serta peluang pembangunan profesional yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Bersama, kita mengorak langkah memperkukuh legasi kecemerlangan, menjana impak yang lebih luas dan memastikan UM terus gah sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang lebih disegani.
Sekian, terima kasih dan salam hormat.
PUAN NOR HAFIZAH ABDULLAH
PENGARAH PUSAT HUBUNGAN ALUMNI