12 Disember 2024 - Universiti Malaya (UM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), yang juga merupakan alumni Universiti Malaya.
Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan penuh produktiviti. Perbincangan melibatkan beberapa isu penting berjaya menemui penyelesaian yang signifikan, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam mencari jalan terbaik menangani cabaran yang dihadapi.
Selain itu, pertemuan ini turut membuka ruang baharu untuk kolaborasi strategik antara Universiti Malaya dan LHDNM pada masa akan datang. Potensi kerjasama ini dijangka melibatkan bidang pendidikan, penyelidikan, serta pembangunan profesional, yang bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua organisasi dan masyarakat secara keseluruhannya.
Kunjungan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara UM dan alumninya, tetapi juga memperkukuhkan peranan institusi pengajian tinggi dalam membina jaringan strategik dengan sektor awam. UM terus komited untuk membina hubungan yang erat dengan alumni bagi memastikan sinergi dalam pelbagai bidang dapat dimanfaatkan bersama.